Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang
hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan.
Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang
berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak.
Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar.
Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada
orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba
di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk mereka yang masih mempunyai ibu,
terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak
kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya.
Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi
mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk
berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan
Ilahi nanti.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali
r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua
orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan Umar
& Ali agar diampunkan dosa oleh Allah. Apakah rahsia besar kelebihan Uwais
al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam
sejarah kemuliaan seorang insan?
Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman.
Dia menghidapi penyakit kulit (sopak). Suatu hari ibunya yang sudah tua
berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah
mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan
bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya
di singgahsana hatinya, dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada
ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak
mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan
sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.
Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong
anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu
itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah
anak lembu itu.
Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya,
“wahai ibu,
bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama
lagi.”
“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke
sana?” tanya ibunya.
“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian
depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”
Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya
tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik
dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya
yang sudah uzur.
Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan.
Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut
Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya,
“apa yang kau
baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”
“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa
ibu.”
Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam
hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,”
Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa
agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”
“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya.
Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”
“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”
Maka tidaklah mampu lagi
Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka
berdoalah Uwais dengan kata,
“Ya Allah, kerana mentaati
kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi
tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”
Apabila Saidina Umar dan
Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar
duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih
terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais
berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh
Rasulullah s.a.w. itu.
Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah.
Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang
berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini.
Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina
Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta
memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita.
WalLahu ‘alam.











